Selepas selesai dengan urusan majlis perkahwinan, tentu anda merancang untuk berbulan madu buat pertama kali dengan si dia.  Tetapi terfikir yang anda tidak mempunyai banyak bajet untuk itu.  Usah khuatir akan kami kongsikan idea bagaimana untuk menggunakan bajet yang ada tetapi masih dapat berbulan madu bersama.  Tidak perlu ke luar negara untuk berbulan madu, untuk lebih bajet bercuti di dalam negara kerana segala-galanya ada di Malaysia.  Jika anda teringin untuk menaiki kapal terbang anda boleh menempah tiket ke Semenanjung atau ke Sabah dan Sarawak.
1.Elakkan waktu puncak
Pilih tarikh yang selain dari tarikh cuti sekolah atau cuti awam di Malaysia.  Ini kerana waktu ini harga penginapan akan menjadi lebih mahal dari kadar normal.  Buat tempahan awal kerana kadangkala anda akan mendapat harga promosi untuk tempahan awal penginapan. Tidak semestinya anda perlu membuat tempahan untuk hotel yang bertaraf 5 bintang, cuba untuk mendapatkan hotel yang berdekatan dengan kawasan pelancongan anda tetapi masih mempunyai kelengkapan penuh.  
2.Pengangkutan
Jika anda mahu berbulan madu di negeri lain yang mempunyai jalan darat, menaiki kenderaan sendiri adalah alternatif yang paling bijak kerana ia akan memudahkan pergerakan anda disana nanti.  Sebelum perjalanan, pastikan kenderaan anda dalam keadaan baik dan isi tangki minyak anda sehingga maksimum.  Anda juga boleh merancang perjalanan anda sendiri tanpa perlu terikat dengan masa yang ditetapkan.Tetapi jika anda memilih untuk menaiki kenderaan awam yang ada contohnya keretapi, bas atau kapal terbang kenalpasti tambang dan masa tersedia untuk memastikan anda dapat sampai ke destinasi tujuan.  Beli tiket untuk pergi dan pulang sebagai persiapan awal.  Juga digalakkan untuk membuat tempahan awal dan semak maklumat pada tiket dengan betul untuk pengesahan masa dan tarikh.
3.Pakej
Ketika karnival pelancongan diadakan terdapat banyak promosi yang dilakukan oleh pihak hotel atau agen pelancongan berdaftar.  Buat tempahan awal ketika karnival ini atau dapatkan maklumat dari pihak mereka agar mudah untuk anda hubungi berkenaan maklumat dan pengesahan.  Buat pembayaran untuk tempahan sahaja dulu kerana anda perlu memastikan yang syarikat itu benar-benar wujud.  Jangan malu untuk proses tawar menawar atau dapatkan pakej yang dikhaskan untuk pasangan berbulan madu.
4.Cenderahati
Beli cenderahati yang tidak terlalu mahal dan mudah untuk dibawa pulang.  Senaraikan berapa orang yang anda mahu hadiahkan dengan cenderahati nanti dan beli secara pukal kerana peniaga akan mengurangkan harga jika anda beli secara pukal.  Sekali lagi jangan malu untuk menawar harga.  Beli cenderahati yang sama dari segi harga agar tidak ada yang tersinggung nanti tentang perbezaan cenderahati yang anda hadiahkan.
5.Barangan peribadi
Sediakan barangan peribadi anda secukupnya. Jika anda tidak membawa barangan yang secukupnya anda perlu membeli disana dan ini adalah tidak digalakkan kerana harganya lebih mahal.  Sediakan semuanya untuk kuantiti yang kecil dan berkongsi adalah lebih menjimatkan.  Sediakan beg tambahan, jika terlebih muatan anda tidak perlu membeli beg yang baru dan mudah untuk anda menyimpan.